Istikharah Cinta Jika Dia Yang Terbaik Buatku Dekatkanlah

Bersaksi cinta di atas cinta

dalam alunan tasbihku ini
menerka hati yang tersembunyi
berteman di malam sunyi penuh doa.
sebut namamu terukir merdu
tertulis dalam sajadah cinta
tetapkan pilihan sebagai teman
kekal abadi hingga akhir zaman

Pernah dengar tak lagu di atas? Sebuah lagu yang bercakap tentang pencarian pasangan yang terbaik untuk diri sendiri. Sebagai muslim, istikharah atau solat istikharah bermaksud memohon petunjuk atau jalan terbaik dalam apa juga perkara yang dihadapi.

Ia adalah sunnah yang diajarkan Nabi Saw kepada umatnya.

Dalam mencari pasangan hidup, kita pasti mahukan yang terbaik. Si dia yang boleh terima diri kita seadanya, boleh menjaga kita, boleh bersama kita di waktu kita senang mahupun susah, boleh saling membimbing dalam mengejar redha Ilahi dan sentiasa bersama membentuk anak – anak menjadi insan yang mulia.

Jadi, memilih insan terbaik untuk dijadikan pasangan adalah satu kemestian.

Sekiranya kita berada antara dua, memilih Si A atau Si B ataupun nak teruskan hubungan itu atau tidak, kita digalakkan menunaikan solat istikharah 2 rakaat.

Imam al-Nawawi menyatakan kaifiatnya adalah seperti berikut :

Rakaat yang pertama selepas membaca al-Fatihah harus membaca surah al-Kafirun

Rakaat yang kedua selepas membaca al-Fatihah harus membaca surah al-Ikhlas.

Berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi ataupun doa-doa yang sesuai.

Manakala, jawapan dari istikharah yang kita lakukan tadi boleh jadi dalam bentuk mimpi mahupun apa perkara yang terjadi selepas itu. Contohnya, kita rasa senang dan tenang dengan Si A berbanding Si B, keluarga pun boleh terima dengan baik. Selain itu, mungkin jawapan Allah adalah hubungan yang dijalin bermasalah dan tidak dapat diselamatkan. Jadi, kita perlulah berlapang dada dan mulakan langkah baru. Tak perlu terlalu kecewa dengan apa yang berlaku.

Begitulah.

Amalkan doa ini agar kita bertemu si dia yang akan bersama – sama ke syurga kelak.

Ya Allah, jika dia terbaik untukku Kau dekatkanlah.

Jika tidak, kau jauhkanlah dan gantikan dengan yang lebih baik.

In sya Allah dengan doa sebegini yang membuatkan kita lebih tenang dan yakin dalam berhubungan.

Moga anda bertemu pasangan yang sesuai. Sentiasa doakan yang baik – baik, mohon doa ibu yang tiada hijab, bersedekah dan gandakan amalan agar rapat dengan Sang Pencipta Jodoh yakni Allah SWT yang Maha Merancang.

6 Rahsia Disebalik Putusnya Perhubungan Pasti Ada Pelangi Selepas Hujan

Cinta merupakan anugerah ALLAH yang tidak ternilai, tapi cinta kepada ALLAH dan Rasul merupakan cinta yang paling tinggi darjatnya mengatasi segala jenis cinta.

6 Rahsia Disebalik Putusnya Perhubungan Pasti Ada Pelangi Selepas Hujan

Namun, bila berbicara soal cinta atau soal pertemuan pasti akan ada penghujungnya.

Putus cinta itu memang menyakitkan. Tapi, percayalah disebalik segala ujian yang anda hadapi pasti ada sinar di penghujungnya.

Di sebalik semua kekecewaan yang anda rasa, ada hikmah yang mungkin anda tidak anda sedari. Jom baca sampai habis untuk mengetahui “hikmah disebalik putusnya sebuah perhubungan.”

Ada banyak masa untuk diri sendiri

Bila putus cinta, anda ada banyak masa untuk diri sendiri. Lakukan semua aktiviti kesukaan anda, contohnya seperti bersukan dan boleh juga untuk manjakan diri anda di spa atau salun-salun kecantikan.

Menjauhkan diri daripada zina

Bila putus cinta, anda akan terhindar dari banyak jenis zina. Contohnya, zina mata, zina hati, zina tangan dan lain-lain jenis zina. Jadi, apabila putus cinta bersyukurlah. Itu tanda ALLAH sayangkan anda dan nak jauhkan anda daripada zina.

Banyak masa untuk ahli keluarga dan rakan-rakan

Ada sesetengah orang, bila dalam perhubungan dia terlalu fokus dengan pasangan sampai dia terlupa dengan orang sekeliling terutama ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat. Jadi, bila anda putus cinta adalah masa yang tepat untuk ganti semula masa-masa yang patut anda luangkan bersama mereka.

Mengajar untuk jadi lebih matang

Dalam sedar tak sedar, putus cinta juga banyak mengajar supaya anda menjadi lebih matang. Anda akan lebih banyak menghargai dan mensyukuri kehidupan ini.

Hidup lebih tenang
Apabila putus cinta, hidup anda akan lebih tenang. Anda akan lebih fokus untuk melakukan sesuatu aktiviti tanpa ada sebarang gangguan.

Menjimatkan wang

Tahukah anda, apabila anda putus cinta juga sedikit sebanyak menjimatkan wang anda. Ini kerana, anda tidak perlu lagi mengeluarkan duit minyak kereta untuk mengambil si dia. Anda juga tidak perlu mengeluarkan duit untuk belanja si dia makan di restoran pilihan hatinya.

Oleh itu, jangan terlalu menghukum diri dan terlalu bersedih apabila putus cinta. Belajar mengikhlaskan segalanya. Percayalah, ALLAH dah atur elok-elok jalan hidup kita. Dan, percayalah ada yang lebih baik untuk anda. Tetap semangat! Senyum!

5 Dugaan Bertunang Buat Bakal Raja Sehari

Tempoh pertunangan merupakan saat untuk anda dan pasangan lebih mengenali antara satu sama lain. Ada juga yang berpendapat, tempoh pertunangan ini merupakan tempoh di mana anda dan pasangan membuat persiapan ke arah pernikahan dan seterusnya persiapan setelah berumah tangga nanti.

5 Dugaan Bertunang Buat Bakal Raja Sehari

Namun, tempoh pertunangan ini juga boleh dikatakan sebagai tempoh bakal pasangan membuat keputusan dengan sebaiknya sama ada untuk meneruskan atau tidak meneruskan majlis pernikahan yang telah dirancang.

Pelbagai dugaan bakal mendatang tanpa diduga. Mungkin silih berganti. Hanya yang kuat dan matang sahaja yang bakal menempuhi dugaan bertunangan ini dengan tenang.

Terdapat 5 dugaan bertunang yang akan kami kongsikan kepada anda sebagai persediaan anda dan pasangan menempuhi alam pertunangan.

1. Dugaan dengan perasaan sendiri

Berdepan dengan perasaan tiba-tiba rasa tidak bersedia menyebabkan diri sendiri menjadi ragu-ragu dengan keputusan untuk berkahwin. Kadangkala tiada punca yang jelas mengapa diri sendiri rasa belum bersedia. Boleh jadi saat ini hanya permainan perasaan.

2. Pasangan bersikap acuh tidak acuh

Faktor pasangan yang hanya bersikap sambil lewa dalam perhubungan menyebabkan diri bertambah ragu-ragu untuk meneruskan pernikahan. Tambahan lagi, tarikh majlis sudah dekat. Banyak persiapan yang tertangguh akibat tidak dapat kerjasama daripada bakal pasangan. Kemungkinan pada saat ini, situasi antara bakal pasangan lebih tegang.

3. Kehadiran orang ketiga dalam perhubungan

Antara dugaan yang hebat dalam pertunangan apabila pasangan mula nampak dan tertarik kepada individu lain yang lebih baik, lebih cantik, lebih perfect dan lebih berkerjaya daripada tunang sendiri. Akhirnya, perhubungan terpaksa diputuskan di tengah jalan.

4. Dugaan dari segi kewangan

Faktor baru nak memulakan kerjaya dan faktor ekonomi yang belum stabil membuatkan pasangan mula tawar hati untuk meneruskan perkahwinan. Mudah berputus asa dan merasakan belum cukup bersedia dari segi kewangan sekiranya meneruskan majlis yang telah dirancang.

5. Dugaan dari sudut keluarga

Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan jika melibatkan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Contohnya dari sudut hantaran, majlis yang diadakan dan juga perbelanjaan yang bakal dikeluarkan nanti. Belum lagi bercerita tentang keluarga yang tidak merestui hubungan yang dijalin. Akhirnya, keluarga bermasam muka. Jalan terbaik yang dipilih untuk meleraikan kekusutan adalah dengan jalan perpisahan.

Semoga kita semua terus kuat dalam melayari bahtera pertunangan seterusnya bahtera rumah tangga yang bakal dibina nanti. Semoga Allah mempermudahkan dan memberikan jalan buat kita dalam meneruskan niat suci untuk membina masjid.