Bersaksi cinta di atas cinta
dalam alunan tasbihku ini
menerka hati yang tersembunyi
berteman di malam sunyi penuh doa.
sebut namamu terukir merdu
tertulis dalam sajadah cinta
tetapkan pilihan sebagai teman
kekal abadi hingga akhir zaman
Pernah dengar tak lagu di atas? Sebuah lagu yang bercakap tentang pencarian pasangan yang terbaik untuk diri sendiri. Sebagai muslim, istikharah atau solat istikharah bermaksud memohon petunjuk atau jalan terbaik dalam apa juga perkara yang dihadapi.
Ia adalah sunnah yang diajarkan Nabi Saw kepada umatnya.
Dalam mencari pasangan hidup, kita pasti mahukan yang terbaik. Si dia yang boleh terima diri kita seadanya, boleh menjaga kita, boleh bersama kita di waktu kita senang mahupun susah, boleh saling membimbing dalam mengejar redha Ilahi dan sentiasa bersama membentuk anak – anak menjadi insan yang mulia.
Jadi, memilih insan terbaik untuk dijadikan pasangan adalah satu kemestian.
Sekiranya kita berada antara dua, memilih Si A atau Si B ataupun nak teruskan hubungan itu atau tidak, kita digalakkan menunaikan solat istikharah 2 rakaat.
Imam al-Nawawi menyatakan kaifiatnya adalah seperti berikut :
Rakaat yang pertama selepas membaca al-Fatihah harus membaca surah al-Kafirun
Rakaat yang kedua selepas membaca al-Fatihah harus membaca surah al-Ikhlas.
Berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi ataupun doa-doa yang sesuai.
Manakala, jawapan dari istikharah yang kita lakukan tadi boleh jadi dalam bentuk mimpi mahupun apa perkara yang terjadi selepas itu. Contohnya, kita rasa senang dan tenang dengan Si A berbanding Si B, keluarga pun boleh terima dengan baik. Selain itu, mungkin jawapan Allah adalah hubungan yang dijalin bermasalah dan tidak dapat diselamatkan. Jadi, kita perlulah berlapang dada dan mulakan langkah baru. Tak perlu terlalu kecewa dengan apa yang berlaku.
Begitulah.
Amalkan doa ini agar kita bertemu si dia yang akan bersama – sama ke syurga kelak.
Ya Allah, jika dia terbaik untukku Kau dekatkanlah.
Jika tidak, kau jauhkanlah dan gantikan dengan yang lebih baik.
In sya Allah dengan doa sebegini yang membuatkan kita lebih tenang dan yakin dalam berhubungan.
Moga anda bertemu pasangan yang sesuai. Sentiasa doakan yang baik – baik, mohon doa ibu yang tiada hijab, bersedekah dan gandakan amalan agar rapat dengan Sang Pencipta Jodoh yakni Allah SWT yang Maha Merancang.